Malaysiakini
BERITA

Armada: Sindiran pada Najib dibuat bekas ahli

Diterbitkan

Pemuda Bersatu (Armada) mendakwa laman Facebook "rasmi" yang menyindir bekas perdana menteri Najib Razak sebenarnya dikendalikan bekas anggota yang enggan melepaskan kawalan terhadap laman itu.

Sindiran itu di tengah-tengah pergeseran antara pemimpin Umno dan Bersatu berhubung isu pengagihan kuasa di Sabah.

Dalam satu kenyataan semalam, ketua penerangan baru Armada Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata pihaknya terpaksa membuat satu laman Facebook baru apabila bekas anggota yang menguruskannya dahulu tidak melayan permintaan untuk menyerahkannya kepada kepimpinan yang baru.

"Terdahulu, saya telah membuat makluman bahawa Facebook rasmi Armada bukan lagi 'Armada Bersatu PPBM'. Sekali lagi saya ingin tekankan ia adalah laman palsu.

"Mohon perhatian umum, laman Facebook rasmi kami adalah ‘Armada Bersatu Malaysia’. Laman rasmi ini tidak pernah digunakan untuk melakukan hal-hal seperti 'troll' atau mempersenda pesaing politik apatah lagi rakan koalisi melainkan sebagai medan penyaluran maklumat," katanya.

PAGE RASMI ARMADA ADALAH ‘ARMADA BERSATU MALAYSIA’ Merujuk kepada perkara di atas, ini adalah pemakluman kedua dan...

Posted by Armada Bersatu Malaysia on Selasa, 29 September 2020

Untuk rekod, Armada beberapa bulan lalu melalui perubahan pemimpinan selepas pemilihan yang diadakan di saat perpecahan dalaman parti itu.

Timbalan ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipilih sebagai ketua yang baru, menggantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelumnya dipecat parti.

Ashraf berkata pasukan penerangan Armada sebelum ini enggan menyerahkan laman itu kepada kepimpinan semasa walaupun permintaan dibuat secara baik.

Dia berkata telah membuat laporan terhadap laman itu kepada Facebook dan menggesa anggota Armada lain mengambil langkah sama.

Kenyataan itu susulan tindakan laman tersebut yang menyertai pertikaian antara Bersatu dan Umno di media sosial yang diburukkan lagi dengan perebutan kuasa antara dua parti itu di Sabah.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menurutnya tidak mengambil kira faktor Umno dalam kemenangan di Sabah, sebaliknya hanya mengangkat kejayaan partinya.

Najib kemudian memuat naik tangkap layar hantaran Asyraf dan Fayhsal dan berkata: "Jangan melampau. Rakyat sedang memerhati".

Tidak jelas sama ada Najib mengulangi peringatan Asyraf terhadap Bersatu atau dia mengingatkan kedua-duanya agar tidak berselisih secara terbuka.

Laman Armada yang didakwa palsu itu kemudian memuat naik tangkap layar hantaran Najib diiringi perkataan "penyamun".

Beberapa bulan lalu, Najib disabit bersalah terhadap tujuh pertuduhan jenayah berkaitan SRC International.

Umno dan Bersatu menyertai PRN Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Turut bersama mereka ialah Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selepas kemenangan GRS, Umno berhasrat menjadikan Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri. Tetapi gabungan itu akhirnya melantik Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor ke jawatan itu, dengan Bung sebagai timbalannya.

Sejumlah pemimpin Umno tidak senang dengan keputusan itu, merasakannya seabgai tidak adil memadangkan Umno menang paling banyak kerusi dalam GRS.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.