Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Moratorium pinjaman bersasar: Tonjolkan ketegasan

Adalah sangat mengecewakan dengan keputusan kerajaan tatkala tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa.

Tidak semestinya moratorium penuh, namun ia adalah suatu pengabaian tanggungjawab yang amat serius apabila kerajaan gagal untuk mengenakan moratorium bersasar.

Kepimpinan yang ada pada hari ini juga lemah tatkala meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi bank.

Menurut laporan terkini, bank-bank secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, di mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.

Dari 380,000 itu, sebanyak 98% telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank.

Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambil kira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia.

Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17% dari jumlah keseluruhan peminjam.

Angka ini tidak begitu meyakinkan, dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam.

Saya gesa kerajaan untuk segera mengkaji semula langkah ini, dan melaksanakan moratoriun pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama adalah kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah, atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia.

Kelas peminjam seperti ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan.

Meski saya sangat komited pada kebijakan sistem perbankan yang bingkas, namun harus ditegaskan bahawa sektor tersebut mesti telus dan ada kebertanggungjawaban.

Kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) dan keuntungan terkini sektor perbankan, dan membentangkannya di parlimen supaya ahli-ahli parlimen dapat merencana, mencari jalan dan dapat memungkinkan kebijakan yang munasabah dan menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, saya ambil maklum terkait jumlah jangkitan Covid-19 yang kini telah mencecah 11,000 kes, dan jumlah kes yang aktif telah melepasi 1,000 untuk pertama kali sejak pertengahan bulan Jun lalu.

Kita mungkin akan dirempuh gelombang kedua wabak ini, dengan sekurang-kurangnya 20 kluster baru yang aktif.

Ini bukan perkembangan yang baik pada ekonomi kita untuk jangka pendek, dan ini bermakna kita harus terus memikir dan mendukung golongan berpendapatan rendah yang semestinya akan terkesan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS