Ekonomi negara menyusut sebanyak 8.3 peratus untuk separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM).

Menorot Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2020, terdapat tanda-tanda pemulihan sejak Julai.

Indeks Produksi Industri (IPI, ukuran penghasilan sebenar) menunjukkan pertumbuhan 1.2 peratus sejak Julai selepas pertumbuhan negatif buat empat bulan berturut-turut.

Pertumbuhan negatif dalam sektor borong dan runcit juga mereda. Ia merupakan petanda yang baik ditambah pula dengan pengeluaran komoditi yang lebih baik dan peningkatan eksport, kata JPM.

Antara cadangan utama JPM adalah untuk merangsang penggunaan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap permintaan luar, terutama dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

JPM berkata industri pelancongan menyumbang kepada 15.9 peratus dalam ekonomi negara tahun lalu.

Jabatan itu juga maklum dengan usaha kerajaan membantu sektor tersebut dengan menawarkan pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan tempatan.

Pembinaan - yang menyumbang kurang lima peratus kepada ekonomi - adalah satu lagi sektor yang menurut JPM patut menerima rangsangan itu.

"Sektor ini mempunyai faktor pengganda dan backward linkage (kaitan yang memberi kesan positif kepada pihak huluan) yang tinggi dan berkemampuan merangsang sektor lain yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi.

"Maka, langkah meningkatkan kegiatan berkaitan dan meluaskan peluang sektor ini akan meningkatkan momentum ekonomi," kata JPM.

Pada masa sama, jabatan itu menyatakan kadar pengangguran masih belum kembali di tahap sebelum wabak Covid-19 dan menjangka gaji akan terus terjejas.

"Perniagaan di industri terpilih melaporkan pengurangan jam kerja bulanan pekerja mereka di tengah-tengah suasana ekonomi yang mencabar, menyebabkan pengurangan gaji yang dibayar; sementara pihak lain terpaksa melaksanakan pemotongan gaji untuk mengekalkan operasi.

"Dijangka ini akan mengurangkan jumlah dan purata gaji yang dibayar kepada pekerja, maka memberi kesan kepada aspek keadaan kerja yang wajar," kata jabatan itu.