Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | ‘Urus janji’ baru untuk Felda
Diterbitkan:  Sep 30, 2020 8:59 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Dalam menyarankan urus janji baharu bagi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang sesuai untuk abad ke-21, kita tidak sepatutnya terburu-buru ke arah perubahan yang terlalu ekstrem.

Jadi, sebagai contoh, jika masalah dengan badan berkanun adalah "salah urus tadbir", maka, memperkasakan akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan agensi ini haruslah dijadikan keutamaan, dan bukannya penswastaan sebagai jalan penyelesaian.

Pada 10 April tahun lalu, satu kertas putih dibentangkan di parlimen bagi menangani masalah yang dihadapi Felda secara dalaman dan luaran serta menetapkan langkah-langkah untuk menyelesaikannya.

Antara sorotan utama kertas putih adalah, kerajaan akan memperuntukkan RM6.23 bilion bagi pembayaran balik pinjaman pokok dan faedah hutang; dan pelepasan pelaburan atau jualan aset bukan teras dan bukan strategik. Syarat-syarat perjanjian sewa tanah antara Felda dan Felda Global Ventures (FGV) akan turut dikaji semula.

Walaupun penswastaan langsung ​​tidak di ambil kira, akan tetapi, ini tidak akan menghalang daripada idea tersebut untuk diketengahkan pada masa akan datang.

FGV sudah menjadi sasaran utama bawah pemerhatian kritikal, mungkin sebagai kambing hitam kerana pelaburannya yang gagal dari dulu. Ia merupakan anak syarikat Felda yang tertumpu kepada tiga sektor utama iaitu perladangan, gula dan logistik. Ia terlibat dalam semua aliran rantaian bekalan dan aktiviti perniagaan ladang dan portfolio gula.

Melalui FGV, Felda menguruskan 439,725 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia, menghasilkan kira-kira tiga juta metrik tan (MT) minyak sawit mentah (CPO) setiap tahun secara purata.

Tetapi, kebimbangan sebenarnya dan yang utama ialah Felda. Sekiranya ia dipertimbangkan untuk penswastaan, ini akan menghapuskan status Felda sebagai simbol identiti negara kita.

Persoalannya, mengapa Petronas, yang juga merupakan simbol kebanggaan dan kejayaan negara kita, tidak dibebani dengan masalah seperti Felda?

Penswastaan ​​akan mengakibatkan sumbangan Felda terhadap pembangunan nasional dan pembinaan negara menjadi peninggalan masa lalu yang tidak lagi bernilai.

Sebagai tambahan kepada penswastaan, pilihan/model asas lain untuk pembaharuan dan penstrukturan semula Felda sebagai badan dan agensi berkanun yang dibentuk bawah Ordinan Pembangunan Tanah (1956) ialah seperti berikut – untuk diubah menjadi:

  1. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC);

  2. Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC);

  3. Entiti korporat yang lengkap; dan

  4. Yayasan – arm’s length dengan pemerintah.

Model yayasan

Hanya model yayasan yang membolehkan faedah semua pihak berkepentingan ditakrifkan sebagai kerajaan (bukan sahaja persekutuan tetapi negeri juga), pekebun kecil, pemain lain dan masyarakat secara meluasnya dapat diseimbangkan, dan membenarkan pengekalan visi dan misi asal Felda sebagai organisasi perniagaan tani utama tajaan negara untuk pekebun kecil.

Ini akan mengekalkan kontrak sosial antara Felda dan pekebun kecil – yang merangkumi dimensi sosioekonomi kontrak sosial yang lebih luas, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Pada masa yang sama, keunikan Felda juga akan terus dipelihara– sebagai skim penempatan semula dan pembangunan tanah paling berjaya di dunia, seperti yang diakui oleh Bank Dunia.

Yang pasti, model yayasan ini akan menggabungkan yang terbaik daripada semua.

Felda akan menjadi entiti amanah separa kerajaan yang bertindak sebagai ejen dan orang tengah bagi pihak kerajaan dan pekebun kecil.

Transformasi kepada yayasan autonomi dan separa bebas hendaklah berdasarkan campuran prinsip sekular dan Islam, yang mana relevan, termasuk prinsip wakaf seperti yang diutarakan oleh Prof Dr Ismail Omar, presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama).

Model yayasan ini akan menanamkan akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan yang lebih mendalam di Felda serta menggabungkan gaya dan amalan terbaik tadbir urus awam dan swasta.

Ke arah itu, teknokrat, penjawat awam dan tokoh korporat, baik yang sudah bersara atau sedang berkhidmat, harus dibawa masuk untuk menerajui dan mengurus Felda sebagai entiti amanah yang bebas tekanan dan pengaruh politik. Pengerusi Felda seharusnya bukan lagi ahli politik daripada parti gabungan yang berkuasa.

Model perladangan baharu harus mengekalkan minyak sawit sebagai pemacu utama pendapatan tetapi penyelarasan semua aliran harus diperkukuhkan. Kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengeluaran minyak bio, misalnya, merupakan komponen bersepadu dan tidak harus terpisah daripada keseluruhan industri kelapa sawit/minyak sawit yang sepatutnya terus menjadi “inti pati” kisah Felda.

Semua ini dalam konteks FGV – sebagai cabang utama Felda – yang tidak lagi disenaraikan.

Pendapatannya akan dikitar semula dalam agensi Felda itu sendiri, untuk dijadikan dana kekayaan separa negara (semi-sovereign wealth fund) yang peruntukan tetap atau berubah-ubah dirizabkan untuk pekebun kecil Felda dan keluarga mereka. Hasilnya, pendapatan Felda yang akan “diswastakan”, dalam analisis terakhir.

Kerajaan pula akan kurang bergantung kepada Felda dalam hal pendapatan eksport yang dapat disalurkan kembali kepada peneroka dan lebih fokus terhadap pelaburan, termasuk dalam tenaga hijau dan sumber yang boleh diperbaharui, yang dikendalikan oleh dana kekayaan separa negara tersebut.


JASON LOH SEONG WEI merupakan ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS