Pelajar baru USM disaran tangguh perjalanan ke kampus esok
KORONAVIRUS | Universiti Sains Malaysia (USM) menyarankan semua pelajar termasuk pelajar baru yang sepatutnya mendaftar di kampus esok, menangguhkan perjalanan sebaliknya membuat pendaftaran secara dalam talian.
Dalam kenyataannya malam ini, USM berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembanganj terkini wabak Covid-19 di negara ini.
"Pelajar-pelajar baharu yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar esok atau mereka boleh menangguhkan perjalanan dan kembali semula ke kampus pada tarikh baru yang akan dimaklumkan kelak," demikian menurut kenyataan itu.
Tatacara pendaftaran akan dimaklumkan melalui laman web rasmi USM.
Bagi pelajar senior yang dijadualkan kembali ke kampus minggu depan pula, mereka diminta menangguhkan perjalanan dan melakukan pendaftaran kursus masing-masing dalam talian.
Untuk maklumat lanjut, pelajar boleh menghubungi kampus induk di talian 04-6533291 5823/5825/6185/5804/5827/6136/5822/5824, Kampus Kesihatan (09-7671300/1310) dan Kampus Kejuruteraan (04- 5995530/5531/5532/5533).
- Bernama

