Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan rentas daerah Sabah: Apa yang dibenarkan, apa yang dilarang
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 9:44 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kawalan pergerakan rentas daerah di Sabah.

Kawalan itu berkuatkuasa hari ini sehingga 16 Oktober ini dan melibatkan seluruh negeri kecuali empat daerah yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bersasar, iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

Kota Kinabalu, Penampang, and Putatan dikategorikan sebagai satu daerah.

Menurut SOP ini, pergerakan rentas daerah disebabkan kes kecemasan - seperti sakit dan pengurusan jenazah - memerlukan kebenaran daripada polis.

Sekolah, taska, tabika dan institut pengajian tinggi dibenarkan terus beroperasi, begitu juga masjid dan rumah ibadah lain.

Kegiatan sukan juga dibenarkan sepanjang tempoh ini.

Bagaimanapun, menurut MKN lagi, perhimpunan awam dan majlis dilarang kecuali dengan kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

Bagi perkhidmatan teksi, e-hailing dan penghantaran makanan, operasi dibenarkan bermula enam pagi hingga lapan malam.

Waktu operasi sama untuk farmasi, stesen minyak, restoran, kedai runcit dan kedai serbaneka.

Pasar harian hanya dibenarkan beroperasi bermula enam pagi hingga dua petang, manakala pasar malam, pasar basah dan pasar borong boleh beroperasi berdasarkan SOP sedia ada.

Perkhidmatan bas henti-henti dibenar beroperasi tetapi tidak untuk bas ekspres.

Sempadan negeri ditutup kecuali kepada penduduk negeri, pemegang pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Sabah serta pasangan yang terlibat dalam perkhidmatan penting (essential service).

Mereka yang tidak termasuk dalam kategori di atas perlu mendapat kebenaran khas dari kerajaan negeri untuk memasuki Sabah.

Semua individu yang memasuki Sabah perlu menunjukkan keputusan negatif ujian RT-PCR tiga hari sebelum memasuki negeri itu.

Kenderaan yang membawa barang keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan kebenaran polis.

Kegiatan perkhidmatan di lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan dengan kawalan SOP ketat selain petugas dan penumpang perlu mendapat kebenaran polis, menurut MKN lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS