DAP mohon ROS benarkan tangguh kongres tahunan
DAP memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membenarkan kongres parti itu - yang sepatutnya berlangsung sebelum hujung tahun ini - untuk ditangguhkan sekurang-kurangnya enam bulan ekoran penularan Covid-19 yang kian membimbangkan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, berkata penularan mendadak wabak itu selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah mengundang risiko tinggi sekiranya kongres parti dilaksanakan juga pada penghujung tahun ini.
Katanya, kongres DAP itu akan melibatkan hampir 4,000 perwakilan dan semua mereka perlu hadir secara fizikal untuk proses pengundian.
“Justeru itu, saya telah menghantar surat rayuan pada hari ini kepada ketua pengarah ROS untuk memohon supaya kelulusan agar kami diberikan kebenaran menangguhkan kongres untuk sekurang-kurangnya enam bulan lagi sehingga keadaan lebih terkawal.
“Saya berharap ROS akan memberikan pertimbangan kepada permohonan kami secepat mungkin memandangkan keadaan semasa adalah luar biasa dan di luar kawalan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Loke, dia telah menulis surat kepada ketua pengarah ROS seawal 6 Julai lalu bagi memohon penangguhan.
Katanya, pada 7 Sept ROS membalas surat itu dan menasihatkan DAP agar melaksanakan kongres parti sebelum 31 Disember.
Oleh hal yang demikian, buat masa ini, DAP telah pun melakukan kerja-kerja persiapan untuk mengadakan kongres parti dan kerja penghataran notis kepada cawangan juga sedang dilakukan.

