Pergerakan Pemuda Umno menolak jemputan Pemuda PAS untuk berhimpun dan berarak bersama-sama di ibu negara esok bagi membantah kezaliman regim Israel dan tindakan Amerika Syarikat merestui keganasan itu.

Perhimpunan dan perarakan besar-besaran anjuran Pemuda PAS itu akan bermula dari Masjid Kampung Baru hingga ke kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat.

Bagaimanpun, Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan satu tunjuk perasaan berasingan pada waktu yangt sama esok bagi membantah kedatangan Setiausaha Negara Amerika, Condolezza Rice.

Demonstrasi anti-Rice itu akan diadakan masjid KLCC. Rice menghadiri sidang Menteri-Menteri Asean di Pusat Konvensyen KLCC, berdekatan lokasi perhimpunan itu diadakan.

Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Shahrul Zaman Datuk Yahya dalam kenyataannya menjelaskan, Pemuda Umno telah mengadakan bantahan anti-Israel pada 21 Julai lalu.

"Pada hari tersebut, kami telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika dan empat lagi kepada anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Britain, Russia, Perancis dan China," jelasnya.

Menurut Shahrul, pihaknya telah menjemput Pemuda PAS menyertai perhimpunan dan perarakan pada 21 Julai itu tetapi Pemuda PAS menolaknya kerana mengadakan perhimpunan sendiri di Masjid Kampung Baru pada masa yang sama.

Kira-kira 500 penbyokong PAS dan anggota pertubuhan Islam bukan kerajaan menyertai perhimpunan tersebut.