Jadi kontak rapat, Takiyuddin kini kuarantin di rumah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan dia kini menjalani kuarantin di rumah sehingga 17 Oktober depan.
Dalam satu hantaran di Fecbook, Takiyuddin berkata ia setelah dia menjadi kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad disahkan positif Covid-19 semalam.
"Susulan kehadiran saya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas serta berstatus kontak rapat, saya kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah hingga 17 Oktober depan.
"Maka semua mesyuarat atau program yang membabitkan saya ditangguhkan seketika.
"Alhamdulillah, keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijalani semalam adalah negatif. Namun saya masih perlu dikuarantin dan menjalani ujian saringan lagi pada hari kelima dan ke-13 (kuarantin)," kata Takiyuddin.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dalam mesyuarat itu telah diberikan arahan kuarantin kendiri 14 hari bermula pada hari kontak berlaku.
Mereka yang tidak menjadi kontak rapat pula tetap perlu memantau kesihatan diri di rumah menerusi penilaian dalam aplikasi MySejahtera.
Antara yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini ialah Muhyiddin dan Noor Hisham sendiri.

