Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
691 kes baru, 4 kematian, 31 di ICU
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Kes baru Covid-19 terus mencatat angka tertinggi hari demi hari.

Hari ini sebanyak 691 kes baru Covid-19 dicatatkan di Malaysia.

Kes paling banyak direkodkan di Kedah (397 kes), diikuti Sabah (219) dan Selangor (38).

Ia kemudian diikuti oleh Perak (lapan kes), Negeri Sembilan (7), Johor (6), Sarawak dan Pulau Pinang dengan tiga kes serta Putrajaya, Terengganu dan Labuan masing-masing dengan satu kes.

Dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor adalah kes import.

Berkaitan kes di Kedah, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 394 daripada 397 kes melibatkan kluster Tembok (penjara Alor Setar).

Kawasan itu sekarang diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco).

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 13,504 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 2,936 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya pada sidang media di kediamannya di Putrajaya, hari ini.

Dia kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad yang positif Covid-19.

Malaysia juga mencatatkan empat kematian baru hari ini, termasuk seorang bayi berumur satu tahun. 

Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 141 orang.

Katanya, bayi perempuan rakyat Malaysia itu adalah kes kematian ke-140 yang dicatat setakat tengah hari tadi. Ini adalah kematian pertama membabitkan bayi di negara ini.

"Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang," katanya.

Kes kematian ke-139 membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia juga berusia 60 tahun.

Dr Noor Hisham berkata, kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu.

"Saringan Covid-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi,” katanya.

Kes kematian ke-138 pula membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.

Saringan Covid-19 didapati positif pada 26 September 2020 manakala keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi Ahad lalu.

"Kes kematian ke-141 membabitkan lelaki rakyat Malaysia berusia 85 tahun.

"Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu ditemui tidak sedar diri pada jam 7 pagi semalam dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, mangsa didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.50 pagi semalam manakala saringan Covid-19 terhadapnya dikesan positif.

Dr Noor Hisham juga memberitahu 31 kes sedang  dirawat di unit rawatan rapi (ICU).  Daripada jumlah itu, lapan memerlukan alat bantuan pernafasan.

 


Lihat Komen
ADS