Sumbang mahram: Hukuman penjara, sebatan ke atas bapa saudara kekal
Seorang atendan pam minyak hari ini gagal dalam rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta enam sebatan atas kesalahan melakukan sumbang mahram dengan anak saudaranya di sebuah rumah dan di dalam semak kawasan pelupusan sampah, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 26 tahun itu selepas mendapati rayuannya tidak mempunyai merit.
Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Seri Mariana Yahya berkata panel itu berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan.
“Mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman," katanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan merogol anak saudaranya yang berumur 17 tahun di sebuah rumah di Gerik, Perak pada Jun dan Oktober 2016.
Perayu juga dituduh merogol mangsa yang ketika kejadian sedang menuntut di sebuah kolej swasta pada 11.30 pagi, Disember 2016 di dalam semak di kawasan pelupusan sampah, Jalan Air Ganda Gerik, Hulu Perak.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan dengan sebatan.
Terdahulu, peguam Maruthamuthu Kathan yang mewakili lelaki itu berhujah kejadian tersebut berlaku atas kerelaan mangsa dan mangsa juga tidak menjerit semasa kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berhujah bahawa kejadian itu bukan atas kerelaan mangsa kerana keterangan mangsa menyatakan dia telah diugut oleh bapa saudaranya semasa ketiga-tiga kejadian.
"Perayu (bapa saudara) juga telah mengambil kesempatan dengan merogol mangsa ketika mangsa sedang demam semasa kejadian kali kedua.
“Mangsa juga tidak berdaya untuk melawan perbuatan tertuduh kerana ketika itu dia mengambil ubat,” katanya.
Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan selepas mendapati lelaki itu bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.
Mahkamah Tinggi Taiping pada November tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut selepas menolak rayuan lelaki itu.
- Bernama

