Pemandu bas cetus kluster baru di Sandakan
Seorang pemandu bas di Sandakan disahkan positif dan menyebabkan satu lagi kluster dikenal pasti di sana, melibatkan sekurang-kurangnya 20 orang.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, lelaki itu mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September dan disahkan positif pada 3 Oktober setelah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.
" Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warga Malaysia," katanya menerusi siaran langsung hari ini.
Kluster baru itu dinamakan sebagai kluster Ramai-ramai.
Setakat ini, sejumlah 166 individu yang menjadi kontak lelaki itu telah menjalani ujian dengan 146 daripadanya masih menunggu keputusan.
Sementara itu, seorang bayi lelaki berusia setahun merupakan antara 4 korban Covid-19 yang diumumkan hari ini.
Bayi tersebut merupakan kematian ke-140 dan mangsa paling muda wabak itu di Malaysia setakat ini.
Dia dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober dan memerlukan bantuan pernafasan.
Dia meninggal dunia pada pukul 4.25 petang semalam.
Tiga lagi kematian yang diumumkan hari ini ialah:
- Lelaki berusia 60 yang dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober. Dia disahkan positif pada 30 September dan meninggal dunia pada pukul 5.05 pagi, 4 Oktober.
- Lelaki berusia 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September. Dia disahkan positif pada 26 September dan meninggal dunia pada 4 Oktober, setelah menerima rawatan selama 10 hari.
- Lelaki berusia 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental. Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang setelah ditemui tidak sedarkan diri pada 5 Oktober dan meninggal dunia pada hari sama.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

