Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Klang, 3 lagi daerah di Sabah dikenakan PKPB
Diterbitkan:  Oct 7, 2020 4:52 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Perintah tinggal di rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperluas ke empat lagi daerah iaitu Klang, Sandakan, Papar dan Tuaran dalam langkah kerajaan mengekang penularan Covid-19.

Mulai 9 Okt, hari Jumaat ini, hanya perkhidmatan penting dan industri yang diluluskan yang dibenarkan beroperasi di empat daerah ini.

"Pergerakan keluar masuk di ke empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan.

"Hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.

"Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut," kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Antara prosedur operasi piawai yang ditetapkan di bawah PKPB ialah hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan rumah.

Perniagaan bukan perkhidmatan perlu (Non Essential Service) pula hendaklah ditutup, sementara restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

Bagi pembelian makanan, hanya kaedah pandu lalu, penghantaran dan take-away sahaja dibenarkan.

Waktu operasi stesen minyak antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Begitu juga farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan.

Operasi pasar harian pula adalah antara hingga 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja. Pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan beroperasi  secara 24 jam.

Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.

Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja. Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB. Majikan pula hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan PDRM.

Di bawah PKPB juga, semua masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, dan pusat jagaan kanak-kanak adalah ditutup.

Begitu juga semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.

Perintah ini, tidak memiliki tarikh luput yang ditetapkan.

Langkah mengenakan PKPB diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara pagi ini dan diumumkan oleh Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada pukul 4 petang tadi.

Sehingga tengah hari semalam, jumlah kes Covid-19 yang aktif untuk Klang adalah 77, diikuti oleh Sandakan, 68 kes, Papar (46) dan Tuaran (28).

Daerah dengan lebih daripada 40 kes aktif diklasifikasikan sebagai "zon merah".

Satu-satunya "zon merah" yang kini tidak berada di bawah PKPB adalah Kota Setar di Kedah dan Petaling di Selangor.

Sementara itu, Ismail juga mengumumkan bahawa polis tidak lagi memproses pelanggaran PKP di balai polis dan sebaliknya akan mengeluarkan saman di tempat pelanggaran berlaku.

Lihat Komen
ADS