Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa gagal dalam menegakkan kebebasan bersuara tanpa diganggu oleh undang-undang antiberita palsu Singapura.

Firma guaman Tetuan Daim & Gamany mengemukakan Saman Pemula (OS) bagi pihak kedua-dua plaintif - LFL dan penasihatnya, N Surendran - di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 September.

Tuntutan saman itu menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal.

Tindakan undang-undang itu dikaitkan dengan tuntutan saman LFL yang terdahulu terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam atas cubaan menguatkuasakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) terhadap kumpulan NGO yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Tuntutan saman LFL sebelum ini menuntut supaya Shanmugam mengakui membuat hantaran palsu di blognya terhadap NGO peguam itu.

Menurut salinan saman pemula yang dilihat oleh Malaysiakini tengah hari tadi, kedua-dua plaintif itu mendakwa bahawa pihak defendan telah gagal melindungi kebebasan hak bersuara apabila kerajaan Malaysia memutuskan bahawa tuntutan saman terhadap Shanmugam sebelum ini adalah "menyalahgunakan proses mahkamah".

Plaintif mendakwa bahawa defendan gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya apabila berpendirian bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan mengenai kesahihan Pofma.

“Peguam Negara Malaysia telah memohon untuk mencelah di dalam saman pemula tersebut yang mana telah dibenarkan oleh mahkamah pada 22 Jun.

“Berdasarkan kepada semua di atas, defendan, melalui tindakan peguam negara Malaysia, telah bertindak melanggar Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Pada asasnya, defendan telah bersedia untuk membenarkan undang-undang asign untuk beroperasi di luar wilayah di mana hak kepada kebebasan bercakap plaintif-plaintif akan diganggu oleh undang-undang asing.

“Defendan telah, dengan hormatnya gagal menunaikan tugasnya terhadap warganegaranya,” menurut saman pemula tersebut.

Berdasarkan tuntutan tersebut, plaintif mendakwa bahawa peguam negara Malaysia seperti menyokong hak kerajaan Singapura untuk menguatkuasakan undang-undangnya terhadap warganegara Malaysia yang mengamalkan hak berperlembagaan.

“Ini telah membangkitkan kebimbangan yang benar di pihak plaintif-plaintif bahawa kerajaan Singapura boleh, pada masa hadapan, dengan menggunakan Akta (Peruntukan-peruntukan khas) Saman dan Waran 1971, atau bagaimanapun sebaliknya, menyebabkan plaintif-plaintif tertakluk kepada Pofma termasuk membawa pertuduhan dalam mahkamah Singapura terhadap plaintif-plaintif,” menurut Surendran.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, peguam plaintif Shahid Adli Kamarudin mengesahkan bahawa surat tuntutan saman itu telah diserahkan kepada defendan (kerajaan Malaysia) pada 18 September.

Peguam itu turut berkata bahawa pengurusan kes oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan pada 19 Oktober.