Polis Johor sedang menyiasat insiden kain rentang dengan kata-kata kesat dan penghinaan yang digantung di jejantas di tiga lokasi di bandar Johor Bahru, hari ini seperti tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai insiden kain rentang dengan kata-kata kesat digantung di jejantas pejalan kaki, di Sungai Chat, Danga Bay dan di hadapan Hotel Crystal Crown di Johor Bahru pada pukul 7 pagi tadi.

“Semakan dilakukan pihak polis di kawasan terbabit mendapati, terdapat tiga kain rentang atau 'banner' dengan perkataan yang boleh mengaibkan, dengan niat memecahbelahkan keamanan di negeri ini dan polis kemudian bertindak menurunkan kain rentang berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 kanun keseksaan, kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat memecah keamanan. Hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya tiada tangkapan dilakukan pihak polis setakat ini namun beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, agar menghubungi pihak polis di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

- Bernama