Polis Klang Utara melaksanakan dua sekatan jalan raya (SJR) dan menutup tiga jalan di sekitar Bukit Kuda susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di mukim Klang berkuat kuasa hari ini hingga 23 Okt.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata SJR berkenaan dilakukan di hadapan premis Emy Cookies & Food dan Simpang Lorong Lintang Raksa 2, kedua-duanya di Jalan Bukit Kuda.

"Pihak polis juga akan menutup tiga jalan di kawasan Bukit Kuda iaitu Lorong Perak, Jalan Raksa 3 dan Jalan Raksa 4," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke kawasan lain di daerah Klang Utara setakat ini," katanya.

Nurulhuda turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Katanya masyarakat boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-3376 2400 untuk sebarang pertanyaan atau aduan.

- Bernama