PAS masuk DUN Sabah: PBS ikrar jadi parti semak dan imbang
Parti Bersatu Sabah (PBS) mengekalkan pendirianya bahawa tiada keperluan untuk ahli PAS menganggotai kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Namun kata presidennya, Maximus Johnity Ongkili, disebabkan pelantikan sudah dibuat, PBS akan memainkan peranan sebagai pihak melaksanakan semak dan imbang bagi memastikan kegusaran orang Sabah dapat diatasi.
“Walaupun begitu, kami tetap mempertahankan kenyataan asal kami bahawa tidak perlu menetapkan duluan bagi pelantikan tersebut ekoran kegusaran dari aspek agama.
“Memandangkan pelantikan sudah dibuat, kami akan memikul peranan untuk semak dan imbang bagi memastikan kebimbangan Sabah dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, dipilih mengisi satu daripada lima jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di negeri bawah bayu itu.
Sementara itu, Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menambah PBS yakin wakil PAS yang dilantik itu dapat mengubah persepsi rakyat Sabah.
“Kami tidak sabar untuk bekerja dengan wakil PAS yang mempunyai latar belakang bagus dalam akademik dari Tenom.
“Saya yakin Aliakbar yang menjadi Adun lantikan akan mengubah persepsi dan tanggapan rakyat Sabah terhadap PAS,” katanya lagi.

