Kesatuan nafi pendaftaran akan dibatalkan kerana tiada AGM
Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Elektrik (EIWU) menafikan bahawa pendaftarannya akan dibatalkana susulan selepas tidak melaksanakan mesyuarat agung (AGM) sebelum 30 September lalu.
Sebalik, menurut setiausaha agung EIWU, Md Zaimi Muhamad Yusuf, AGM terpaksa ditangguhkan ke tahun depan selepas tidak dapat membuat persiapan awal kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.
"Memang tahun ini perlu adakan mesyuarat agung dan pemilihan majlis tertinggi baru. Untuk itu kami perlu membuat persiapan awal seperti, notis pemberitahuan, kertas undi, tempat penginapan, dewan untuk mesyuarat.
"Tetapi, tiba-tiba kerajaan menguatkuasan PKP pada 18 Mac. Kami terpaksa menghentikan semua kerja awalan kerana pejabat pun ditutup.
“Jadi, kami tidak dapat mengadakan mesyuarat agung pada 30 September seperti yang terdapat dalam perlembagaan Kesatuan," katanya kepada Malaysiakini ketika perjumpaan di ibu pejabat EIWU di Subang, semalam.
Md Zaimi berkata demikian ketika diminta penjelasan susulan aduan seorang ahli yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada Malaysiakini sebelum ini.
Menurut ahli itu, EIWU yang kini mempunyai lebih kurang 10,000 ahli kemungkinan dibatalkan pendaftaran kerana gagal mengadakan AGM sebelum 30 September ini.
Ini kerana, katanya, mengikut Peraturan 9 (1) perlembagaan EIWU bahawa "Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali Kesatuan ini hendaklah diadakan seberapa cepat selepas 31 Mac dan tidak lewat dari 30 Sept tiap-tiap tahun. Tarikh dan masa dan tempat mesyuarat itu akan ditetapkan oleh majlis tertinggi".
Malah, dakwanya, EIWU yang didaftarkan sebagai kesatuan sekerja di bawah Menteri Sumber Manusia turut dinasihatkan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) menerusi satu surat bertarikh 25 Julai bahawa ia tidak boleh menangguhkan AGM dan perlu mematuhi perlembagaan kesatuan.
Apabila diajukan aduan itu, Md Zaimi menyangkalnya dan mendakwa exco EIWU mengambil keputusan untuk tetap menangguhkan AGM.
"Pada 16 Julai mesyuarat exco di Melaka memberi mandat dan sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat agung ke tahun depan.
"Memang tidak ada peraturan dalam perlembagaan untuk menangguhkan mesyuarat. Tetapi, Peraturan 12 memberi kuasa kepada exco untuk mengambil keputusan jika AGM tidak dapat dibuat.
"Ini kerana pemilihan EIWU melibatkan hampir 10,000 ahlinya. Jadi, ia perlukan persiapan awal. Kos untuk membuat mesyuarat agung pada ketika ini naik tiga kali ganda kerana SOP baru dengan sekurang-kurangnya 750 delegasi perlu hadir untuk korum mesyuarat.
"Sebab itu, kami tangguhkan AGM dan pemilihan kepada 2 April tahun depan dan segala keputusan diambil dalam mesyuarat exco telah pun dimaklumkan kepada JHEKS menerusi e-mel pada 29 Sept," katanya.
EIWU yang ditubuhkan pada Januari 1971 juga bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Industri All Global Union.

