PKPD di asrama pekerja resort di Petaling Jaya
Kerajaan akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya, Selangor.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berkuatkuasa selama 14 bermula tengah malam esok susulan lima pekerja di situ yang dikenal pasti positif Covid-19.
Katanya, arahan itu tidak akan memberi kesan kepada kediaman dan rumah kelab di resort itu.
Terdahulu, Pegawai Daerah Petaling merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar mengesahkan lima pekerja resort itu dikenal pasti positif Covid-19.
Sementara itu, Ismail berkata pusat membeli-belah 1 Utama di Bandar Utama Damansara telah diarahkan tutup selama tujuh hari, bermula 12 Oktober.
Ia di sebalik langkah kerajaan Selangor yang telah mengeluarkan arahan serupa bermula esok, selepas empat kes positif di sana.
Kes positif pertama di pusat membeli belah itu dilaporkan pada 5 Oktober, melibatkan seorang pekerja Mac City Service Centre, manakala kes kedua pada 8 Oktober melibatkan seorang pekerja Parkson Elite.
Dua lagi kes dimaklumkan oleh Johary hari ini.
Pihak pengurusan 1 Utama dalam kenyataan memaklumkan semua pekerja Mac City Service Centre telah disahkan negatif, begitu juga dengan kontak rapat pekerja Parkson Elite.

