Persatuan harap MPK kaji semula pembatalan bazar Deepavali
Persatuan Usahawan Little India Klang meminta pihak berkuasa tempatan di situ mengkaji semula keputusan mereka membatalkan penganjuran bazar Deepavali di Lorong Tingkat tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.
Pengerusinya, Charles Manickam berpendapat bahawa bazar Deepavali masih boleh diadakan dengan pengawasan ketat standard operasi prosedur (SOP) yang ketat seperti keputusan Majlis Keselamatan Negara yang membenarkan majlis perkahwinan di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
"Saya meminta MPK (Majlis Perbandaran Klang) mengkaji semula keputusan membatalkan bazar Deepavali tahun ini.
"Ini kerana, hampir separuh keuntungan tahunan peniaga kecil dari Klang dan seluruh negara adalah pada musim Deepavali.
"Perniagaan mereka akan terjejas teruk sekiranya bazar Deepavali dibatalkan. Ramai akan gulung tikar," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin mengumumkan bazar Deepavali akan dibatalkan di Klang ekoran kawasan itu diisytihar sebagai zon merah akibat peningkatan kes baru Covid-19.
Ketika ini, sebanyak 97 kes Covid-19 sedang dirawat di daerah berkenaan.
Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula 12.01 tengah malam 9 Okt hingga 23 Okt.
Menurut Manickam, pihaknya berharap bazar itu boleh diadakan dengan mengurangkan jumlah gerai dan Lorong Tingkat pula boleh dijadikan sebagai jalan sehala.
"Jadi, para pengunjung hanya boleh masuk di tempat dan keluar di tempat lain dengan kawalan dan garis panduan yang ketat," katanya.

