4 anggota keselamatan dari Kuching positif Covid-19 lepas balik dari Sabah
Empat anggota keselamatan yang bertugas semasa Pilihan Raya Negeri Sabah akhir bulan lalu disahkan positif Covid-19 kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu anggota keselamatan terbabit bersama pasukan mereka bertolak ke Sabah pada 25 Sept dan pulang semula ke Kuching melalui Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia pada 28 Sept.
Setibanya di Kuching, kata jawatankuasa berkenaan, mereka diletakkan dalam kuarantin selama 14 hari di Pusat Latihan Polis (Pulapol) bandar raya berkenaan.
"Semua kes ini menjalani ujian saringan pertama pada 29 Sept dan keputusannya adalah negatif," katanya.
Bagaimanapun menurut kenyataan berkenaan ujian kedua yang dijalankan pada hari ke-10 - atau pada 8 Okt - mendapati empat anggota keselamatan itu positif.
"Kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda atau gejala dan mereka dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut," katanya.

