Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini menzahirkan rasa syukur setelah tiga ujian saringan Covid-19 yang dilakukannya sejak pulang dari Sabah pada 28 Sept lepas, menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin dalam hantaran terbaharunya di akaun Facebook berkata, meskipun keputusan ujian saringan Covid-19 pertama adalah negatif dan gelang pengawasan telah dipotong, namun dia tetap menjalani kuarantin kendiri di rumah dan mempengerusikan semua mesyuarat secara dalam talian dari rumah.

Katanya, mulai esok dia akan kembali memulakan tugasan secara rasmi di pejabat seperti biasa serta mematuhi prosedur operasi standard selain memantau keadaan kesihatan diri dari semasa ke semasa.

Sementara itu, di Kelantan, seramai 95 orang termasuk Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang merupakan jentera Umno yang ditugaskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini turut disahkan negatif Covid-19.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kesemua petugas telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali dan keputusan ujian tersebut adalah negatif.

“Ujian saringan kali pertama dan kedua di juga didapati negatif, namun saya tetap mengarahkan semua untuk wajib kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga, walaupun kawasan yang ditugaskan iaitu daerah Sandakan dikategorikan sebagai zon hijau,” katanya.

Katanya, pendekatan itu sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 dan demi menjamin keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di Kelantan.

-Bernama