Semua janji temu majlis akad nikah yang dijadual dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang yang dibuat sebelum atau pada 7 Oktober ditangguhkan berkuat kuasa serta merta mulai esok, susulan peningkatan kes Covid-19,

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata penangguhan itu melibatkan janji temu pasangan dari Zon Klang dan Zon Kapar.

"Keputusan ini dibuat berikutan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau oleh JAIS melibatkan seluruh Daerah Klang pada 7 Oktober dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat (9 Oktober).

"Semua janji temu akad nikah individu terlibat di PAID Klang akan dijadualkan semula. Sebarang perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan majlis akad nikah bagi Daerah Klang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata, sesi persekolahan semua sekolah di bawah seliaan JAIS di Daerah Petaling ditangguh mulai esok sehingga 25 Oktober.

"Sepanjang tempoh penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka itu, semua pengetua, guru besar dan ketua guru hendaklah memastikan guru-guru serta pelajar melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian.

Dalam hal ini, JAIS sentiasa memantau situasi di Selangor dan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.