PRK Batu Sapi: SPR rangka SOP baru, saran kempen di media sosial
Calon pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi digalakkan untuk berkempen melalui media sosial dan bukannya menggunakan kaedah tradisional seperti ceramah, perjumpaan dan lawatan dari rumah ke rumah.
Bercakap pada sidang media ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi di Menara SPR di Putrajaya hari ini, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya tidak lagi membenarkan aktiviti ziarah dan ‘walkabout’ oleh calon atau penyokong parti sempena pilihan raya kecil itu.
Beliau berkata calon boleh berkempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial dan pengedaran risalah kempen secara pos, untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.
SPR, katanya telah menyediakan satu Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya selaras dengan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Secara dasarnya SPR mencadangkan tidak ada kempen secara terbuka, kempen secara berkumpulan dan kempen dari rumah ke rumah. SPR mencadangkan orang ramai berkempen melalui media sosial,” katanya.
Abdul Ghani berkata tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari bermula daripada pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga 11.59 malam Jumaat, 4 Dis.
PRK bagi kerusi Parlimen Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember dengan hari penamaan calon pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.
Dia berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Batu Sapi ialah di Auditorium, ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan manakala pusat pengiraan undi awal dan pusat pengiraan undi pos di Dewan Jati, ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan.
Timbalan Presiden I, Majlis Perbandaran Sandakan Faridah Giau dilantik sebagai pengurus pilihan raya PRK Batu Sapi dan beliau akan dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus.
Abdul Ghani berkata PRK Batu Sapi membabitkan kos hampir RM6 juta dengan 837 orang petugas, 13 buah pusat mengundi dengan 67 tempat mengundi (saluran).
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Batu Sapi adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan ST2/2020 yang dikemas kini sehingga 6 Okt 2020.
DPPR tersebut mengandungi 32,962 pengundi yang terdiri daripada 31,152 orang pengundi biasa, 672 orang tentera serta pasangan dan 1,138 orang polis serta pasangan polis Pasukan Gerak Am.

