Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar 'bohongi' rakyat, patut bersara - Wan Saiful
Diterbitkan:  Oct 13, 2020 4:35 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim telah 'membohongi' rakyat apabila mendakwa mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru, tetapi Istana Negara jelas menunjukkan perkara tersebut tidak berlaku.

Wan Saiful turut meminta Anwar supaya bersara dan membenarkan individu lain memimpin blok pembangkang berbanding Ahli Parlimen Port Dickson yang dilihat cuba menggugat kestabilan kerajaan dengan penipuan yang sama.

“Apa yang difikirkan hanyalah cita-cita peribadi sahaja, tanpa memikirkan kesan ketidakstabilan politik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

“Ia juga melambangkan betapa Anwar semakin lama semakin terpisah daripada denyut nadi rakyat yang mahukan kestabilan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut hadir selepas Anwar mendakwa bahawa dia telah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli parlimen buatnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam pertemuan pagi tadi.

“Gambaran yang diberi oleh Dato Seri Anwar seolah olah beliau mempersembahkan senarai yang lengkap.

“Tetapi kenyataan Istana Negara jelas menunjukkan itu tidak berlaku. 

"Gambaran yang diberi adalah dengan niat jahat membohongi rakyat,” katanya kepada Malaysiakini. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin pada satu kenyataan kemudian memaklumkan Al-Sultan Abdullah mengesahkan bahawa Anwar dalam majlis menghadap pagi tadi telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada dirinya.

Walaubagaimanapun, kata Ahmad Fadil, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.

Lihat Komen
ADS