Kerajaan setakat ini menumpukan usaha membendung penularan wabak Covid-19 berdasarkan pendekatan sedia ada tetapi tidak menolak melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) jika keadaan menjadi buruk, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Harapan saya, ialah saya seboleh mungkin kita nak elakkan (PKP).

"Tetapi kalaulah sekiranya keadaan menjadi buruk dan kes meningkat luar biasa, susah kita hendak (tangani). Saya tak hendak mendoakan.

"Maka akan adalah langkah (PKP)," katanya ketika menjawab soalan wartawan sekiranya PKP akan dilaksanakan sekali lagi.

Menjelaskan lanjut mengenai beban ekonomi Muhyiddin berkata kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar kira-kira RM300 bilion bagi menangani dampak wabak Covid-19 ketika PKP pertama.

"Apakah kerajaan mampu untuk membantu (dalam PKP kedua)?

"Kita akan cari jalan seberapa yang boleh untuk membantu rakyat.

"Tetapi saya fikir biarlah kita lalui fasa ini dulu dan kita memerhatikan apa perkembangannya, langkah-langkah sewajarnya jika kita perlu ambil langkah (PKP)," jelas beliau menjawab soalan mengenai keupayaan kewangan kerajaan dalam menghadapi PKP pada sidang media secara maya hari ini.

Muhyiddin juga berkata pelaksanaan PKP sebelum ini memberi dampak yang besar terhadap sektor ekonomi dan sosial.

Sejak seminggu lalu, Covid-19 terus mencatatkan peningkatan tinggi. Semalam, sebanyak 563 kes baru Covid-19 dicatatkan, termasuk dua lagi kematian.

Kes baru tertinggi adalah pada 6 Oktober lalu dengan 691 kes.

Dalam menangani gelombang baru Covid-19, Muhyiddin berkata permohonan peruntukan daripada Kementerian Kesihatan "diluluskan seratus-peratus."

"Sebelum ini telah luluskan RM2 bilion (untuk KKM)," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.