Balik Kelantan dari kawasan PKPB diminta kuarantin kendiri 14 hari
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menyarankan mereka yang tinggal di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang pulang ke Kelantan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata, ekoran pengumuman PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang akan berkuat kuasa 14 Oktober, kemungkinan ramai individu akan keluar dari kawasan tersebut.
Jelasnya, sebahagian besar mungkin akan menuju ke Kelantan.
"Sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan meminta orang ramai yang akan menerima kepulangan ahli keluarga dari Lembah Klang agar menasihat ahli keluarga yang baru pulang supaya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari sebelum bergaul rapat dengan ahli keluarga yang lain.
"Sekiranya dapat disediakan homestay dan sebagainya, ia adalah amat baik. Jika mereka terpaksa tinggal serumah, asingkan mereka ke dalam bilik berasingan yang mempunyai kemudahan bilik air. Makanan dan minuman hendaklah dihantar ke bilik tersebut," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Zaini, golongan perantau dari kawasan berisiko itu juga dinasihatkan supaya tidak berada di luar bilik sepanjang tempoh kuarantin itu.
"Sekiranya mereka perlu keluar dari bilik, pastikan mereka memakai pelitup muka dan membuat penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dari ahli keluarga yang lain.
"Dalam tempoh 14 hari ini, mereka tidak dibenarkan menziarahi ahli keluarga yang lain, ke pusat membeli-belah, ke masjid dan ke kedai makan.
"Mereka digalakkan untuk membeli makanan dari kedai makanan atas talian menggunakan khidmat Food Panda atau Grab Food dan membayar menggunakan perbankan secara online," katanya.
Apa yang lebih penting tegasnya lagi, sekiranya mereka mula mengalami gejala, sila bawa mereka ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk proses saringan.
Katanya, pihak JKNK akan menyaring semua perantau bergejala yang datang daripada kawasan berisiko dalam masa 14 hari.
"Sekiranya anda mempunyai gejala setelah kontak dengan mereka, anda perlu pergi ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
“Sekiranya anda atau ahli keluarga anda perlu diambil saringan, jangan risau kerana proses tersebut tidak sakit, dan tidak berbahaya,” katanya.

