394 kes positif babitkan individu pulang dari Sabah sejak 23 Sept
Sebanyak 394 kes positif Covid-19 melibatkan individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah direkodkan sejak 22 Sept lepas sehingga hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini juga, terdapat sebanyak 23 kluster di seluruh negara yang disebabkan kes indeks dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.
"Daripada jumlah positif itu, sebanyak 228 kes (57.9 peratus) adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 Sept 2020 manakala sebanyak 166 kes (42.1 peratus) lagi adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba selepas 27 Sept.
"Secara keseluruhan sehingga hari ini, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik," katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan saringan Covid-19 kepada semua pengunjung dari Sabah sejak 27 Sept dan mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sehingga keputusan ujian negatif dimaklumkan, kes dan kluster berkaitan kelompok ini masih terus dilaporkan.
"Bagi membantu menangani isu ini dan dengan mengambil kira situasi kenaikan jumlah kes Covid-19 di Sabah, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa dan domestik, diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang dan perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan peralatan penilaian kendiri (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
"Langkah ini telah bermula pada 11 Okt sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak," katanya.
Dr Noor Hisham berkata situasi semasa berkaitan isu itu dipantau rapi oleh KKM dan sebarang perubahan dalam pendekatan yang diambil akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara.
- Bernama

