Pengawal keselamatan maut dihempap pokok pinang
Seorang pengawal keselamatan sekolah maut akibat dihempap sebatang pokok pinang yang patah dalam kejadian ribut di Kampung Relang, Batu Kurau, Perak semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata ketika kejadian Hamize Abu Bakar, 58, sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya ekoran keadaan cuaca mendung dan angin kencang pada pukul 1.50 petang.
Katanya, polis yang menerima laporan kejadian itu melalui MERS 99 telah pergi ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring berhampiran motosikalnya.
"Petugas kesihatan yang tiba membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala kerana dihempap sebatang pokok pinang," katanya kepada Bernama.
Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
- Bernama

