Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istana Negara tangguh sesi mengadap untuk Mat Sabu, Guan Eng
Diterbitkan:  Oct 14, 2020 8:59 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk dua pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya berlangsung pada hari ini dan 21 Okt ditangguhkan.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu, hal berkenaan disampaikan pegawai kanan Agong.

Menurut kenyataan itu, sepatutnya Lim dijadual mengadap Agong pada hari ini manakala Mohamad pada minggu depan.

Namun, semalam setiausaha sulit kanan baginda telah memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua sesi menghadap tuanku ditangguhkan.

"Kami menjunjung titah dan mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan," kata Mohamad dan Lim.

Perhatian orang ramai kini tertumpu kepada kemungkinan berlaku perubahan kerajaan dalam masa terdekat selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam.

Anwar mendakwa dia kini mendapat sokongan lebih 120 ahli parlimen sekali gus meletakkan Muhyiddin Yassin kini tidak lagi memiliki majoriti di parlimen.

Umum memang mengetahui presiden Bersatu itu memang menguasai majoriti tipis semasa dilantik menjadi perdana menteri ekoran jatuhnya kerajaan PH akhir Feb lalu.

Para pemimpin parti politik pula dijadual mengadap Agong dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terkini politik dalam negara. 

Lihat Komen
ADS