Paling Popular
Terkini

Ketika pimpinan kanan beberapa parti politik dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, PAS pula tidak dijadualkan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

"Tidak," katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp, pagi ini.

Anggota parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditanya sama ada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dijadualkan mengadap Al Sultan Abdullah di Istana Negara dalam masa terdekat.

Ia susulan perkembangan semasa politik selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka, semalam, bagi mempersembahkan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya sebagai perdana menteri.

Pada sidang media selepas itu, Anwar berkata dia mendapat sokongan lebih 120 anggota parlimen, namun enggan mengulas lanjut.

Istana Negara dalam kenyataan selepas itu mengesahkan Anwar telah mempersembahkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, namun tidak menyenaraikan nama individu yang menyokongnya.

Terdahulu, beberapa pemimpin parti politik dijadualkan akan mengadap Seri Paduka, antaranya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ahmad Zahid dijadualkan mengadap baginda pada Khamis (esok), manakala Mohamad dan Guan Eng pula pada 21 Oktober.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini, presiden Amanah dan setiausaha agung DAP itu memberitahu bahawa majlis mengadap mereka telah ditangguhkan.

Lihat Komen
ADS