Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SD sokongan: Polis panggil Anwar ke Bukit Aman esok - Laporan
Diterbitkan:  Oct 14, 2020 10:09 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Polis akan memanggil Anwar Ibrahim ke Bukit Aman untuk dirakam keterangannya esok, kata laporan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, dipetik BH Online berkata ketua pembangkang itu diminta membantu siasatan berikutan penyebaran senarai nama ahli parlimen yang didakwa menyokongnya menjadi perdana menteri.

"Demikian saya difahamkan (Anwar dipanggil ke Bukit Aman esok)," katanya.

Laporan itu juga memetik Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya sudah memaklumkan kepada Anwar untuk tampil ke Bukit Aman, esok.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dilaporkan akan merekod percakapan Anwar pada jam 3 petang.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed mengesahkan ahli parlimen Port Dickson telah diminta untuk hadir memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa dia mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Siasatan kes telah dibuka mengikut Seksyen 505(b) kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis telah diterima dan PDRM masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa sejak kebelakangan ini," katanya.

Menurut Huzir, pada awalnya Anwar telah diminta untuk memberi keterangan pada 12 Oktober, jam 11 pagi, namun begitu, setiausaha sulitnya memaklumkan presiden PKR itu hanya dapat hadir pada 13 Oktober, jam 9 pagi.

Lihat Komen
ADS