Kematian kes Covid-19 tujuh hari berturut-turut di Sabah
Hari ini masuk hari ketujuh kematian pesakit Covid-19 berlaku di Sabah - dan hampir semunya di kawasan pantai timur negeri itu.
Sejak 10 Oktober lalu, semua kes kematian Covid-19 dilaporkan di negeri di Bawah Bayu itu.
Sabah juga mencatatkan 35 kematian yang berpunca daripada Covid-19 dalam tempoh 30 hari - lebih banyak berbanding jumlah bulanan kematian jalan raya di negeri itu, menurut satu kajian.
Dalam tempoh yang sama Kedah, iaitu negeri dengan kes aktif kedua tertinggi setakat hari ini, mencatatkan tiga kematian sementara Pulau Pinang dengan satu kes kematian.
Tidak ada kematian Covid-19 dilaporkan di negeri lain.
Sehingga 13 Oktober lalu, sebanyak 2,970 orang dirawat bagi kes Covid-19 di Sabah - merangkumi lebih daripada separuh jumlah kes aktif seluruh negara pada masa ini.
Jumlah untuk 14 Oktober belum diumumkan setakat berita ini ditulis, tetapi setakat semalam 62 peratus kes yang dirawat adalah di daerah pantai timur - Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Kunak.
Keadaan sangat teruk di daerah-daerah ini, sehingga diberi gelaran "The Little Wuhan", merujuk kota di China yang menjadi tempat pertama virus tersebut ditemui.
Kementerian Kesihatan (KKM) belum menjelaskan mengapa Sabah mengalami kadar kematian yang secara relatifnya tinggi pada bulan lalu.
Dalam pengumuman hariannya, KKM juga tidak lagi memberikan perincian berapa lama pesakit yang mati menjalani rawatan.
Bagaimanapun, nombor kes pesakit yang terkorban membayangkan waktu mereka menjalani rawatan tidak lama.
Contohnya, tiga individu yang meninggal dunia hari ini diberi nombor kes 17,307, 17,308 dan 17,309. Nombor kes diberikan mengikut kronologi semasa pesakit disahkan positif.
Semalam, jumlah keseluruhan kes sebanyak 16,880 - menunjukkan besar kemungkinan ketiga-tiga korban menjalani rawatan kurang 24 jam sebelum mereka meninggal dunia.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata risiko kematian meningkat sekiranya pesakit turut mengidap penyakit lain serta tidak mendapatkan rawatan segera.
Pada 9 Oktober, Malaysiakini melaporkan jumlah kes yang tidak dapat dihubungkan dengan kluster di Sabah telah mencetuskan kebimbangan di kalangan komuniti perubatan.

