Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno sudah mula membincangkan keputusan yang dibuat Biro Politik parti itu untuk mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN), pada Selasa.

Malah, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa juga yakin perkara itu akan menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan diadakan bila-bila masa.

“Kalau ada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sudah tentu perkara itu akan dibincangkan.

“Dan saya perhatikan pun memang perkara (keputusan mesyuarat Biro Politik Umno) itu sedang dibincangkan. Tetapi kebanyakannya dalam kumpulan WhatsApp dan sebagainya kerana mesyuarat (setakat ini belum diadakan),” katanya ketika ditanya adakan MT Umno akan membincangkan ketetapan yang dibuat Biro Politik parti itu.

Annuar berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya, hari ini.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan membuat kejutan dengan berkata Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN.

Katanya, parti itu akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Difahamkan keputusan Biro Politik Umno itu dibuat selepas mesyuarat badan perhubungan negeri pada hari sama yang dikatakan mengajukan tuntutan serupa.

Badan perhubungan Umno yang mengumpulkan pengerusi negeri dan Biro Politik antara badan pembuat keputusan yang berpengaruh di dalam parti.

Biro politik dianggotai antaranya oleh presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, setiausaha agung dan tiga ketua sayap parti - pemuda, wanita, Puteri.

Bagaimanapun, pendirian biro politik Umno itu belum muktamad kerana perkara berkenaan masih perlu mendapat persetujuan majlis tertinggi parti.

Sementara itu, mengulas pendirian BN berhubung perkara itu, Annuar berkata setakat ini tiada perbincangan mengenainya dibuat.

“Peringkat BN belum adakan apa-apa mesyuarat dan tiada jangkaan waktu untuk BN adakan mesyuarat,” katanya ringkas.

Di tengah-tengah 'perselisihan Umno dan Bersatu' mutakhir ini, semalam Annuar berkata tidak salah untuk Umno, PAS dan Bersatu kembali membuat rundingan politik demi kebaikan negara.

Lihat Komen
ADS