Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li berhak kemuka apa-apa usul, kata Annuar Musa

Setiuasaha Agung BN, Annuar Musa berkata semua ahli parlimen berhak untuk mengemukakan sebarang usul di Dewan Rakyat.

Menurut Annuar yang juga menteri wilayah, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga tidak terkecuali.

"Tengku Razaleigh mempunyai hak sebagai anggota parlimen untuk kemukakan apa-apa saja usul.

"Pada masa sama Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun juga mempunyai tanggungjawab untuk laksanakan tugas beliau berasaskan kepada peraturan-peraturan sedia ada," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Tengku Razaleigh yang memohon jaminan supaya usul undi tidak percaya dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dibentang di Dewan Rakyat.

Selanjutnya, ketika ditanya jika terdapat usaha untuk mengangkat MP Gua Musang itu sebagai perdana menteri, Annuar enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak akan ulas mengenai spekulasi,” katanya ringkas.

Semalam, tular sepucuk surat dari Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan.

Pendedahan itu sehari selepas ahli parlimen Gua Musang itu dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Sultan Abdullah bagi menunjukkan dokumen yang dikatakan bukti beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Surat Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li, bertarikh 25 September 2020 - dua hari selepas Anwar mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan majoriti yang dikatakan dimilikinya.

Dalam surat itu yang dilihat Malaysiakini, Ku Li berkata usul undi tidak percaya sangat penting bagi menentukan sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

Terdahulu Annuar dalam sidang medianya berkata Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan beberapa agensi lain telah mengambil langkah bagi mewujudkan inisiatif tambahan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat(PKPB). 

Kata Annuar, sebanyak RM39.75 juta diperuntukkan bagi tujuan itu dan ia hanya diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat perkara itu sahaja.

Menurutnya, antara inisiatif tersebut adalah pengecualian bayaran sewa rumah bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember.

"Keseluruhan peruntukan ini adalah berjumlah RM14.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa PPR MTEN dan PA DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, bagi 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur pula, mereka dikecualikan daripada membayar sewaan dengan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.

"Penjaja dan peniaga kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini juga turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November yang melibatkan 1339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000.00," ujarnya.

Perbaharui lesen, penjaja tak perlu bayar

Tambah beliau, pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya yang bermula Oktober hingga Disember melibatkan pengecualian hasil kepada PPj berjumlah RM1.87 juta.

Beliau berkata, penjaja dan peniaga kecil Putrajaya ini juga turut diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember 2020 melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000.

Katanya lagi, PPj turut akan menyediakan bantuan Food Pack berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin (B40) bernilai RM100.00 untuk setiap isi rumah.

"Pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100.00 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing.

"Manakala 1,000 orang pelajar miskin di Putrajaya juga turut menerima baucar Back to School bernilai RM100.00 daripada PPj sebagai persediaan untuk perbelanjaan barangan persekolahan tahun hadapan. 350 orang pelajar tadika kelolaan PPj turut dikecualikan daripada bayaran yuran bulan Oktober 2020," ujarnya.

Menurut Annuar lagi, sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off turut diberikan kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk di Wilayan Persekutuan Kuala Lumpur dan enam sub zon MPPWP Putrajaya.

Sementara itu, RM2,000 secara one-off diberikan kepada 570 persatuan-persatuan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Jelasnya, ia bertujuan untuk pelaksanaan program-program pencegahan Covid-19 dalam kalangan komuniti bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu.

Dalam perkembangan sama Annuar berkata, sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan bagi program-program bantuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, ini termasuk bantuan kepada nasjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; Program Dapur It’am; Program Bantuan Dakwah; dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah.

"Pihak MAIWP juga turut memberikan bantuan kecemasan khas Covid-19 dan bantuan makanan serta sewa kediaman kepada mahasiswa awam di IPTA Wilayah Persekutaun Kuala Lumpur berjumlah RM12.7 juta," tambah beliau. 

Lihat Komen
ADS