Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid bersandiwara, terdesak nak jadi menteri balik - Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Oct 15, 2020 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memperlekeh dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang menggambarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim mendapat sokongan 30 anggota parlimen Umno untuk membentuk kerajaan baru.

Tegasnya, sehingga ke hari ini, keputusan Majlis Tertinggi Umno tidak pernah berubah iaitu Umno tidak sesekali menyokong Anwar dan DAP.

“Wah! Tak sabar sangat nampaknya Abang Lid (Khalid) nak jadi menteri balik, sampai terdesak kena bersandiwara juga.

“Kalau betul 30 orang MP Umno sokong Anwar, dedahkan nama-nama mereka. Dengan Yang di-Pertuan Agong pun Anwar Ibrahim boleh bersandiwara dengan hanya membawa ‘numbers’ (bilangan majoriti) bukan ‘names’ (senarai nama), apatah lagi rakyat.

“Seperti yang ditegaskan, keputusan Majlis Tertinggi Umno sehingga hari ini tidak pernah berubah iaitu Umno tidak sesekali menyokong Anwar dan DAP,” katanya di Facebook.

 

Selain ahli Parlimen Umno, Khalid mendakwa Anwar turut mendapat sokongan daripada 42 ahli parlimen DAP, 11 dari Amanah, dan 39 daripada PKR, menjadikan Anwar mempunyai 122 sokongan tidak termasuk ahli parlimen bebas yang memberinya akuan bersumpah (SD) sebagai tanda sokongan.

Kata Khalid, sokongan kepada Anwar tersebut adalah dalam bentuk surat sokongan daripada pemimpin-pemipin parti berkenaan.

Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin bagi mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru, namun menurut baginda, Anwar tidak ada mengemukakan senarai nama wakil rakyat terlibat.

Yang di-Pertuan Agong berkenan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti, tetapi ia ditangguhkan kerana sekatan Covid-19.

Anwar pada September mendakwa mempunyai majoriti kuat untuk membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Sekutu Bersatu dalam PN, Umno, yang mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai pula kelmarin menyatakan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada gabungan berkenaan.

Khalid, dalam respons terhadap kenyataannya itu mengakui yang angka 30 ahli parlimen Umno itu hanyalah anggarannya sahaja dan tidak pernah disebut oleh mana-mana pihak.

“Ada yang tegur, angka 30 MP Umno tak pernah disebut mana-mana pihak.

“Saya akui ianya anggaran saya dan secara rasminya kenyataan saya sepatutnya hanya menyebut ‘surat sokongan ketua-ketua parti dipersembahkan DSAI (Anwar) kepada YDPA termasuk sejumlah MP Umno,” ciapnya di Twitter.

Lihat Komen
ADS