Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin: Umno tuntut jawatan TPM, portfolio penting

Beri Umno jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno sebagai penyumbang kerusi yang banyak dalam Perikatan Nasional (PN) wajar mendapat portfolio yang baik.

Sebaliknya kata Tajuddin, Mohamed Azmin Ali yang menyumbang sembilan kerusi dalam kerajaan PN diberi portfolio baik.

“Sepatutnya jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada Umno.

"Umno komponen paling besar dalam kerajaan PN sewajarnya diberikan penghargaan, pengiktirafan tetapi malangnya tidak begitu.

“Macam Azmin dan kawan-kawan, dia sumbangkan lebih kurang sembilan sahaja kerusi berbanding dengan Umno," katanya kepada media di ibu negara hari ini.

Krisis dalam PN bermula apabila Umno menyatakan hasratnya untuk mempertimbangkan semula sokongan parti itu kepada kerajaan PN.

Mesyuarat biro politik Umno Selasa lalu, membuat pertimbangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat biro politik parti itu.

Umno juga mahu mengemukakan syarat serta perjanjian secara bertulis baru bagi menyokong kerajaan PN.

Dalam pada itu Tajuddin berkata, ia bukan soal perubatan jawatan, namun Umno perlu diberi jawatan yang sewajarnya dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, ia bukan perebutan jawatan tetapi jawatan itu adalah perkara penting.

“Bukan kerana pangkat tetapi kerana kedudukan itu memberikan platform kepada kita sebagai parti untuk berkhidmat yang memenuhi kehendak rakyat.

“Kalau jadi parti tak boleh bela rakyat apa makna, 'terkonteng-konteng' macam parti Berjasa apa dia boleh buat? Parti Perjuang? Apa dia boleh juang?” katanya.

Lihat Komen
ADS