story image
mk-logo
Berita
MT Umno mesyuarat di Pahang, Selasa ini
Diterbitkan:  Oct 16, 2020 5:12 AM
Dikemaskini: 7:26 AM

Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bertemu pada Selasa ini bagi mengadakan mesyuarat secara bersemuka di satu lokasi tidak didedahkan di Pahang, kata setiausaha agung Umno Ahmad Maslan.

Bercakap kepada pemberita di Pontian, Johor pagi ini, Ahmad berkata, mesyuarat yang sepatutnya diadakan secara sidang video esok itu ditangguhkan memandangkan ahli MT mahu ia dijalankan secara bersemuka.

"Kita memilih Pahang bagi mesyuarat berkenaan, berikutan lokasi di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya seperti dipetik BH Online.

Ahmad bagimanapun masih belum memberikan maklum balas kepada soalan Malaysiakini tentang bagaimana ahli MT yang berpusat di Lembah Klang dapat merentas daerah atau negeri serta menghadiri mesyuarat berkenaan.

Antara larangan di bawah PKPB ialah larangan merentas negeri kecuali untuk hal-hal kecemasan dan kerja.

Mesyuarat MT itu menjadi perhatian banyak pihak memandangkan ia dijangka memperhalusi keputusan biro politik Umno yang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Tambahan pula, mesyuarat itu berlaku di tengah-tengah timbulnya persoalan sama ada Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan yang cukup daripada ahli parlimen untuk terus kekal sebagai perdana menteri atau pun tidak.

Biro politik Umno dipengerusikan oleh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, dan terdiri kebanyakannya daripada ahli dilantik dan merupakan badan eksekutif parti.

Sementara biro politik bermsyuarat setiap minggu, MT Umno pula selalunya bermesyuarat pada hari Jumaat terakhir setiap bulan.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS