Malaysiakini
BERITA

'PM gagal kendali ekonomi, negara perlukan nakhoda baru'

Diterbitkan

Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana telah gagal mengendalikan ekonomi negara di saat penularan Covid-19, menurut Pemuda Amanah.

Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithin berkata, ia dapat dilihat apabila rakyat semakin sukar meneruskan kehidupan.

“Muhyiddin ternyata telah gagal dan harus meletakkan jawatan segera.

“Negara ketika ini memerlukan nakhoda baru dengan jemaah menteri yang lebih efisien untuk membantu ekonomi rakyat, daripada sekadar membaca doa di depan televisyen dengan para menteri yang sewenang-wenangnya melanggar prosedur opersari standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk statistik dari Jabatan perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos yang kekal pada 4.7 peratus, Shazni mempersoalkan sama ada jemaah menteri di bawah Muhyiddin sedar atau tidak dengan perkara itu.

“Pada mulanya dia mengatakan keadaan terkawal. Kemudian mendakwa tidak mahu bermain politik.

“Sedangkan dalam masa yang sama kabinet beliau langsung tidak berfungsi untuk mengeluarkan rakyat dari kemelut pengangguran.

“Di bawahnya merupakan kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia, namun jarang sekali kedengaran inisiatif pemulihan ekonomi daripada menteri-menteri yang ada,” katanya lagi.

Pada 14 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata pasaran buruh di Malaysia stabil dengan sedikit pemulihan pada Ogos apabila bilangan penganggur dicatatkan berkurangan kepada 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada bulan Julai lepas, meskipun kadarnya kekal 4.7 peratus.

Kadar itu juga dalam trend pemulihan selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei dengan lebih banyak perniagaan menyambung semula operasi dengan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Mustapa lagi.

Bagaimanapun, Shazni berkata masalah pekerjaan kekal meruncing apabila banyak desakan agar kerajaan meneruskan moratorium pinjaman, yang tamat pada September lalu.

“Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa lebih 750,000 peminjam masih memerlukan moratorium pinjaman, dan angka ini jauh lebih tinggi daripada angka pengangguran rasmi,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 23 Sept, Muhyiddin mengumumkan sejumlah 98 peratus permohonan melanjutkan tempoh moratorium dan bantuan bank secara bersasar telah diluluskan.

Ia bertujuan mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan oleh penularan Covid-19 melalui penangguhan pembayaran balik pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan.

Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.