Malaysiakini
BERITA

Gangguan air di 686 kawasan di S'gor, KL dijangka pulih mulai 2 petang

Bernama

Diterbitkan

Bekalan air di 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor, yang mengalami gangguan malam tadi berikutan henti tugas separa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), dijangka pulih secara berperingkat mulai 2 petang ini.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini menyatakan kerja membaik pulih paip air terawat di LRA SSP1 yang pecah semalam, telah siap sepenuhnya pada lapan pagi tadi.

“Berikutan itu, LRA SSP1 telah memulakan operasi secara maksimum bagi memenuhi sistem utama bekalan air dan bekalan air disalurkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut meningkatkan penyaluran air terawat daripada beberapa LRA lain termasuk LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Wangsa Maju, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Nenas bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada pengguna terjejas.

Sebanyak 84 lori tangki air juga digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air di pili awam yang disediakan Air Selangor.

Orang ramai boleh merujuk lokasi gangguan bekalan air tidak berjadual dan pili awam tersebut di semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.