Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang Johari: Sarawak tetap akan adakan PRN tahun depan
Diterbitkan:  Oct 18, 2020 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Sarawak akan meneruskan Pilihan Raya Negeri ke-12 yang dijadualkan tahun depan walaupun negara menghadapi wabak Covid-19, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Menurut Ketua Gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu yang dipetik Astro Awani, perkara berkenaan mengambil kira kebolehan Sarawak mengendalikan pandemik itu secara efektif ketika ini.

“(Namun) sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh meneruskan mandat, saya tidak kisah untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri,” katanya secara berjenaka di Konvensyen Sarawak United People's Party (SUPP) di Kuching, hari ini.

Minggu lalu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendesak Abang Johari Openg untuk melupakan hasrat mengadakan pilihan raya negeri Sarawak dalam tempoh enam bulan akan datang memandangkan lonjakan kes Covid-19 di Sabah yang berlaku setelah diadakan PRN pada 26 September.

Sabah mencatatkan 451 kes baru semalam dan telah melaporkan 38 kematian dalam 10 hari terakhir.

"Pengajaran pilihan raya negeri Sabah masih segar dalam ingatan semua orang. Oleh itu, Abang Johari bersikap tidak bertanggungjawab jika mencadangkan pembubaran DUN Sarawak dan mengadakan pilihan raya tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong mengatakan pilihan raya negeri Sabah tidak dapat dielakkan kerana cubaan rampasan kuasa oleh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, tetapi untuk Sarawak, jangka masa hanya akan berakhir pada Jun 2021, dan tidak ada usaha menjatuhkan pentadbiran GPS melalui "pintu belakang".

Oleh itu, katanya, tidak ada keperluan untuk tergesa-gesa megadakan pilihan raya negeri buat masa ini.

Abang Johari hari ini mengatakan bahawa soal pilihan raya adalah perkara dalaman dan tidak melibatkan campur tangan 'orang luar'.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar pilihan raya akan diadakan.

Pilihan raya negeri seharusnya diadakan dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran DUN.

Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir pada Jun 2021.

Lihat Komen
ADS