Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM mahu PKPB diperketat, hanya sektor ekonomi dibenarkan

Kementerian Kesihatan akan mencadangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengetatkan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan hanya kegiatan ekonomi dibenarkan, kata Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.

"Kementerian Kesihatan ingin mencadangkan untuk mengetatkan PKPB, kita hanya akan benarkan sektor ekonomi," katanya semasa sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata, ini merupakan sebahagian pendekatan untuk meratakan lengkungan kes Covid-19 berikutan jumlah kes terus meningkat setiap hari.

Katanya terdapat keperluan untuk mengawal sektor pendidikan, sukan dan sosial di kawasan yang disasarkan seperti di Sabah dan Lembah Klang.

"Kita akan bincangkan hal ini dalam mesyuarat MKN mengenai pelaksanaannya dan seterusnya," kata Noor Hisham.

Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dibuka semula di kawasan PKPB.

Katanya, kerajaan membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan permohonan dari Kementerian Belia dan Sukan.

""Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang telah ditetapkan sebelum ini, Sabah dan Lembah Klang diletakkan di bawah PKPB sejak Selasa lalu (13 Okt) dan Rabu (14 Okt)," kata Ismail semalam.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 871 kes baru Covid-19 direkodkan setakat tengah hari ini,  dengan Sabah terus merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 702 kes.

Lihat Komen
ADS