Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktiviti gimnasium, futsal dibenarkan di kawasan PKPB dengan SOP ketat
Diterbitkan:  Oct 17, 2020 5:45 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan gimnasium dan pusat futsal dibuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail berkata, kerajaan telah mempertimbangkan permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk membenarkan operasi kedua-dua premis berkenaan, dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang telah ditetapkan sebelum ini," kata Ismail dalam sidang media harian berkaitan Covid-19 hari ini.

Ismail berkata, padang bola sepak komersial dan pusat futsal juga dibenarkan dibuka untuk sesi latihan, tetapi hanya terhad kepada 10 pemain dalam satu-satu masa.

"Kebenaran ini akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober 2020 dan SOP selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Ismail dimaklumkan mengenai kes tiga penjual nasi ayam dari Jenjarom yang didenda RM1,000 setiap seorang pada 14 Okt lalu ketika dalam perjalanan pulang dari gerai keluarga mereka di USJ4, Subang Jaya.

Menurut Ismail, pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa mana-mana keluarga  yang perlu menaiki kereta melebihi dua orang perlu melaporkan kepada polis dan mendapatkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa itu.

Akhbar komuniti SJ Echo semalam memaparkan dilema yang dihadapi peniaga nasi ayam berkenaan, Seow Boon Seong yang mengendalikan gerainya bersama dua adik perempuan dan seorang anak saudaranya.

Seow dilaporkan berkata jarak sejauh 30km dari Jenjarom, memaksa mereka bertiga menaiki kereta yang sama, walaupun terdapat halangan PKPB.

Ismail berkata hari ini merupakan hari terakhir dia mengadakan sidang media dari rumah selepas menjalani kuarantin. Ujian kedua yang dijalankan mendapati beliau bebas daripada Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS