Malaysiakini
BERITA

Ku Li penentu kelangsungan kerajaan PN

Haspaizi Zain

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Okt 2020, 12:03 pagi

ULASAN | Kemelut politik negara masih menjadi tanda tanya, kedudukan Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri terus dipertikaikan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan dengan alasan Lembah Klang masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sama ada Muhyiddin telah hilang sokongan ataupun ketua pembangkang Anwar Ibrahim mempunyai majoriti, ia masih menjadi tanda tanya yang perlu dirungkaikan.

Ketika Anwar mengumumkan yang dia memiliki lebih 120 majoriti untuk membentuk kerajaan baru, Umno pula memutuskan untuk mempertimbangkan kembali sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dicelah-celah kemelut itu, muncul pula nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Teka-teki pertemuan dengan Dr M

Malah, nama Ku Li disebut sebagai "penyelamat" bagi menyelesaikan kemelut politik dengan segera.

Veteran Umno itu dipanggil ke Istana Negara selang beberapa jam selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan majoriti sokongan yang didakwa dimilikinya.

Selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengesahkan perkara itu, namun tidak ada senarai nama ahli parlimen yang menyokongnya dikemukakan Anwar.

Kemudiannya, secara tiba-tiba gambar membabitkan pertemuan Tengku Razaleigh dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tersebar, ia "memeriahkan" lagi kemelut kepimpinan negara yang terus memberi banyak teka-teki.

Pelbagai percaturan mula diramal oleh "pemerhati politik kedai kopi". Bermacam andaian dan spekulasi bertebaran sehinggalah membawa kepada penyebaran "surat sokongan Umno kepada Anwar". 

Bagaimanapun, Umno menafikan perkara itu.

Situasi kini semakin berkecamuk, Muhyiddin juga mungkin tersepit dan kini berdepan dengan situasi sukar. Dia perlu mencari jalan segera bagi menamatkan konflik yang melanda ketika ini.

Memenuhi kehendak Umno yang mahu jawatan timbalan perdana menteri serta portfolio penting kabinet diberikan kepada mereka, ataupun kehilangan jawatan sebagai perdana menteri.

Pembentangan belanjawan uji Muhyiddin

Meskipun Muhyiddin mungkin memenuhi tuntutan yang diputuskan biro politik Umno dan kerajaan PN dapat diselamatkan, namun untuk berapa lama ia terus menjadi persoalan.

Ya, Muhyiddin mungkin boleh mempertahankan sokongan ahli parlimen lain kepadanya, namun bagaimana dengan Ku Li. 

Apakah pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu akan menyokong Muhyiddin?

Ini kerana Ku Li antara orang yang lantang dan "senada" dengan Mahathir mahukan supaya usul undi tidak percaya dibawa ke Dewan Rakyat bagi mengesahkan majoriti sokongan dimiliki perdana menteri.

Meskipun pada pusingan pertama ini Muhyiddin berjaya mempertahankan kerajaannya, namun cabaran besar menantinya pada 2 Nov depan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 akan menentukan kelangsungan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin. 

Jika belanjawan berjaya diluluskan maka kerajaan PN akan kekal hingga ke akhir musim, namun jika gagal, ia memberi isyarat jelas bahawa kerajaan PN tidak memiliki majoriti untuk mentadbir negara.

Ku Li bakal menjadi penentu kepada kelangsungan kerajaan Muhyiddin, jika Ku Li dan beberapa orang yang bersamanya menarik sokongan kepada perdana menteri, PN yang ditegakkan dengan 113 kerusi saja pastinya akan tewas.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan