Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera membuat keputusan berhubung isu kapal tempur pesisir (littoral combat ship atau LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kata Liew, sehingga hari ini masih tiada keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek tersebut.

Walhal kata senator DAP itu lagi, Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz bersetuju dengan cadangan yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, dan menyatakan bahawa kerajaan sekarang akan mempertimbangkannya.

“Soal keperluan TLDM terhadap kapal LCS langsung tidak timbul. Namun apa yang menjadi persoalan ialah cadangan realistik kerajaan PN untuk menyasarkan hanya dua buah kapal disiapkan sedangkan sejumlah RM6 bilion dibayar.

"Jumlah ini adalah dua pertiga daripada nilai siling RM9 bilion. Dengan jumlah ini, sepatutnya empat buah kapal sudah siap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat hari ini, menurut Liew, selain perakuan Ikmal Hisham kerajaan masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek berkenaan.

"Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” katanya.

Menurut Liew selagi tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal TLDM berkenaan akan mengalami kelewatan/

LCS merupakan kelengkapan yang dilengkapi persenjataan untuk empat dimensi peperangan iaitu antiudara, antipermukaan laut atau air, antikapal selam dan peperangan elektronik.