Cuepacs yakin kakitangan k'jaan tiada masalah kerja dari rumah
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin sebahagian besar kakitangan awam tidak berhadapan masalah untuk bekerja dari rumah.
Katanya, ini memandangkan perkara ini sudah dilaksanakan pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia terbukti berkesan.
“Cuepacs juga yakin pelaksanaan kerja dari rumah yang akan mengurangkan sehingga 70 peratus kakitangan di lapangan atau pejabat tidak menjejaskan perkhidmatan dan penyampaian jabatan dan agensi kerajaan kepada rakyat.
“Keutamaan perkhidmatan awam ketika ini adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan dalam masa yang sama memutuskan rantaian penularan Covid-19,” kata Presiden Cuepacs Adnan Mat dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas surat pekeliling, Ketua Pengarah JPA Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang memerintahkan ketua jabatan untuk mengehadkan jumlah kakitangan awam persekutuan di pejabat hingga 30 peratus sambil memastikan bahawa perkhidmatan asas kepada orang awam tidak terjejas.
Mengulas kenyataan itu, Adnan memohon supaya keutamaan dalam pelaksanaan bekerja dari rumah diberikan kepada kakitangan yang memerlukan seperti mereka dengan anak kecil dan pasangan yang bertugas sebagai barisan hadapan.
“Penetapan kakitangan yang perlu kerja dari rumah juga harus diberikan keutamaan kepada kakitangan yang memerlukan seperti mempunyai anak kecil, pasangan bertugas sebagai barisan hadapan atau pasangan yang bekerja di sektor swasta dan perlu bertugas sepanjang tempoh PKPB.
“Penggiliran untuk kumpulan yang kerja dari rumah dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan boleh dilakukan mengikut keperluan jabatan masing-masing agar tidak memberi kesulitan kepada kakitangan,.
"Ini untuk memastikan kumpulan yang akan bertugas di lapangan memberi perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh PKPB ini," katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak harus berganding bahu dalam memastikan usaha membangunkan semula ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan segera.

