Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan naikkan tarif air jika terus membazir
Diterbitkan:  Aug 1, 2006 12:06 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kerajaan mungkin terpaksa menaikkan tarif air jika orang ramai terus membazir air, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Katanya, tindakan itu adalah jalan terakhir jika pendekatan berlembut yang digunakan sekarang iaitu mendidik orang ramai dan menggalakkan mereka menjimat air menerusi kempen khusus masih gagal.

Beliau berkata kempen seumpama itu perlu demi mempertingkat kesedaran pengguna tentang penggunaan air secara rasional dan menggalakkan penjimatan air.

"Jika, selepas kempen, orang ramai masih membazir (air), kita mungkin menaikkan tarif," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Penjimatan Air Kebangsaan di ibunegara.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata menerusi kempen itu, kerajaan menjangka penggunaan air domestik menurun sebanyak 10 peratus pada 2008.

"Jika kita berjaya, kekurangan air yang dijangkakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (dalam beberapa tahun akan datang), sebagaimana diramalkan oleh sesetengah orang, akan menurun," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr. Lim berkata keperluan bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk tempoh 2007 hingga 2010 akan meningkat kepada 1,500 juta liter sehari dan kepada 2,260 juta liter sehari pada tahun 2010.

"Yang pasti ialah sumber air yang ada sekarang tidak mampu menampung permintaan yang kian meningkat daripada sektor domestik dan industri. Jika usaha tidak dicari bagi mendapatkan sumber air yang baru, ada pihak menjangkakan ketiga-tiga negeri itu akan menghadapi defisit bekalan air menjelang 2007," katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu kerajaan akan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor dan mengikut perancangan kerja-kerja fizikal projek yang dianggarkan menelan kos RM3.8 bilion itu dijangka bermula pada tahun 2008 dan siap pada 2012.

Beliau berkata selain itu, kementerian juga akan meningkatkan usaha bagi menangani masalah kadar air tak terhasil (non-revenue water) dan sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi menggantikan paip di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS