mk-logo
Berita
Ismail Sabri 'tergelak' ramai keliru SOP kerja dari rumah
Diterbitkan:  Oct 21, 2020 9:07 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob 'tergelak kecil' hari ini atas kekeliruan orang ramai mengenai arahan kerja dari rumah, berkata mungkin ramai orang yang tidak sabar untuk menunggu maklumat lebih lanjut daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Jelasnya, beliau telah mengatakan semalam pengumuman lanjut akan dikeluarkan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan memberikan perincian lebih lanjut mengenai perintah itu.

Bagaimanapun, kata Ismail orang ramai kelihatan bingung dan mencari lebih banyak maklumat.

"Seperti yang saya jelaskan semalam bahawa ketua pengarah perkhidmatan awam dan Miti akan mengeluarkan kenyataan bagi memperincikan pekerja di sektor awam dan industri yang terlibat dengah arahan yang dikeluarkan ini.

"Jadi saya nampak daripada malam semalam huru hara seluruh negara. Ramai yang keliru dan sebagainya walaupun saya dah katakan semalam bahawa pengumumnya adalah secara general, secara am, iaitu persetujuan kita untuk mengarahkan kerja dari rumah.

"Dan saya kata hari ini baru akan dikeluarkan secara lebih detail oleh ketua pengarah perkhidmatan awam dan Miti," katanya ketika bercakap pada sidang media harian Covid-19 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Siaran menteri kanan itu kira-kira enam jam sebelum arahan kerja dari rumah berkuat kuasa.

Sektor tak rasmi kerja ikut SOP

"Jadi mungkin ramai yang tak sabar walaupun permulaan perintah tersebut adalah besok, tapi ramai yang tak sabar, tertanya-tanya, pelbagai-bagai lagi," katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan hanya industri yang berada di bawah bidang kuasa Miti dan penjawat awam di bawah JPA yang perlu mengikuti perintah kerja dari rumah untuk kawasan yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Banyak sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sector, seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, restoran, gerai makan, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.

"Jadi, kedai-kedai lain tu boleh bekerja seperti biasa. Yang melibatkan perkhidmatan perlu bekerja," katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata penjawat awam yang bekerja dalam perkhidmatan penting dan kritikal dikecualikan arahan bekerja dari rumah itu.

Arahan itu melibatkan 800,000 pekerja sektor industri dan 200,000 pekerja sektor awam peringkat pengurusan dan penyeliaan.

Kawasan yang terjejas adalah Sabah, Labuan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sehingga PKPB masing-masing berakhir.

Ismail juga membatalkan pengumuman semalam bahawa semua pihak yang ingin terus bekerja dari pejabat di zon merah diwajibkan menjalani ujian Covid-19.

Sebaliknya, ujian hanya wajib dilakukan bagi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan dan sebagai pengawal keselamatan di zon merah.

Bagi pekerja lain pula, "sangat digalakkan" membuat ujian.

Awal hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali maksimum 10 peratus pekerja pengurusan dan penyelia akan dibenarkan bekerja di pejabat.

Azmin yang juga menteri kanan berkata arahan ini untuk mereka yang tugasnya merangkumi perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan, dan IT.

Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berada di pejabat selama empat jam, dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, tiga hari seminggu.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS