Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
96 kluster aktif Covid-19: Lapan kluster baru dikesan
Diterbitkan:  Oct 21, 2020 11:48 PM
Dikemaskini: 3:48 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lapan lagi kluster baru, menjadikan kluster aktif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 96.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster baru di Sabah dikenali sebagai Kluster Basung, Kluster Inai serta Kluster Tempayan, manakala yang lain terdiri daripada kluster Long (Selangor), kluster Melati (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Kluster Cahaya (Selangor), Kluster Bah Kota (Negeri Sembilan) dan Kluster Bina Labuan (Labuan).

Beliau berkata 19 kes dikenal pasti positif Covid-19 dalam Kluster Basung melalui saringan bersasar ke atas individu yang terlibat dengan perniagaan ikan di daerah Kudat.

“Bagi Kluster Inai, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-11,619) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Okt dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Projek Perumahan Rakyat Taman Ehsan, Kota Belud.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19.

Berhubung Kluster Tempayan, beliau memberitahu kluster itu dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 1 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 18 lagi kes positif,” katanya.

Bagi Kluster Long, kes indeks (iaitu kes ke-16,746) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 12 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh di Selangor, kata Dr Noor Hisham.

“Sehingga hari ini, hasil saringan kontak rapat mendapati 18 lagi kes positif bagi kluster ini,” katanya.

Sementara bagi Kluster Cahaya, beliau berkata kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-20,394 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 16 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh manakala hasil saringan kontak rapat mendapati 17 kes positif.

Menurut Dr Noor Hisham, bagi Kluster Bah Kota pula, kes indeks (iaitu kes ke-17,988) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti sembilan lagi kes positif manakala 161 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster ketujuh adalah Kluster Melati yang turut dikesan hasil saringan individu bergejala pada 14 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-18,002) dikesan positif. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata terdapat kluster baru di Labuan iaitu Kluster Bina Labuan yang dikenal pasti hasil saringan kemasukan hospital pada 21 Okt dan telah meninggal dunia pada hari yang sama di Hospital Labuan.

“Empat lagi kes dikesan positif hasil saringan kontak rapat manakala 55 individu masih menunggu keputusan,” kata Dr Noor Hisham.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS