Seorang wanita berusia 63 tahun yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati setelah dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1, di Kota Kinabalu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.15 malam apabila wanita tempatan itu dikatakan terjun menerusi tingkap bangunan hospital berkenaan.

"Polis menerima laporan daripada pihak hospital pukul 9.30 malam. Siasatan awal mendapati mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 13 Okt lepas selepas disahkan positif Covid-19.

"Selepas mendapatkan rawatan lanjut, mangsa disahkan bebas penyakit berkenaan dan dijadualkan untuk keluar hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata mayat mangsa ditempatkan di Jabatan Forensik HQE 1 sementara menunggu siasatan lanjut.

"Siasatan termasuk mengenal pasti punca mangsa terjun dan mencari saksi di tempat kejadian," katanya.

- Bernama